Friday, 25 March 2011

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI BESI

Sekitar tahun 1950-an, masyarakat Melayu yang tinggal di Sungai Besi sangat kecil populasinya. Tetapi lama-kelamaan populasinya yang tinggal di sini semakin berkembang dan kebanyakan penduduknya bekerja sebagai anggota polis dan pelombong di Sungai Besi. Pada masa ini, anak-anak mereka di hantar ke sekolah di daerah Petaling kerana di kawasan Sungai Besi tiada sekolah untuk anak-anak mereka menimba ilmu. Manakala anak-anak pelombong pula bersekolah di daerah Serdang.

Oleh kerana institusi pendidikan sangat penting pada waktu itu, maka sebuah sekolah Melayu telah didirikan di Sungai Besi sekitar tahun 1954. Ini berikutan satu peristiwa yang menimpa anak-anak polis yang mengakibatkan tiga orang murid terbunuh apabila kenderaan polis yang digunakan berulang-alik oleh mereka untuk ke sekolah ditimpa satu kemalangan ngeri. Penduduk-penduduk Sungai Besi amat kesal dengan apa yang berlaku. Berikutan itulah pihak bertanggungjawab kawasan tersebut mencadangkan satu sekolah melayu dibina di Sungai Besi untuk kemudahan anak-anak mereka menuntut ilmu.

Akibat daripada kemalangan ngeri itu, terbinalah sebuah sekolah di Sungai Besi seperti yang sedia ada sekarang. Hasil rundingan di antara penduduk-penduduk kampung dengan pihak bertanggungjawab, maka sekolah itu siap dibina pada 1 Mac 1954 hasil kerjasama dan gotong-royong penduduk setempat. Sekolah tersebut diberi nama Sekolah Umum Sungai Besi. Sekolah ini dibina di atas sebidang tanah di atas kawasan tapak lombong yang terletak di belakang Balai Polis Sungai Besi.

En. Mohd Yassin bin Haji Saleh adalah individu yang pertama berkhidmat sebagai Guru Besar di Sekolah Sungai Besi sebelum beliau bertukar ke Sekolah Umum Prince’s Road 2. Jawatan Guru Besar Sekolah Umum Sungai Besi diambil alih oleh En. Nordin bin Ismail. Di bawah pentadbiran beliau banyak perubahan telah dilakukan untuk memantapkan lagi sekolah tersebut iaitu dengan adanya kemudahan bekalan air dan elektrik. Beliau berkhidmat di sekolah tersebut selama 10 tahun. 

Pada 1hb November 1965, Sekolah Umum Sungai Besi telah mengalami banyak perubahan apabila sekolah tersebut terpaksa berpindah tapak iaitu ke kawasan yang ada sekarang kerana pihak lombong ingin mengambil alih semula tapak yang sedia ada. Pada tahun 1971 bilangan murid telah bertambah kepada 281 orang berbanding 50 orang semasa awal penubuhannya. 

Sekarang Sekolah Kebangsaan Sungai Besi mempunyai infrastruktur dan kemudahan yang teratur dengan memiliki 3 blok bangunan batu yang mampu menampung seramai 963 orang pelajar. Pelbagai kemudahan telah disediakan dan diberikan oleh pihak kerajaan seperti komputer, makmal sains, alatan sukan, dan sebagainya untuk kegunaan pelajar. Bilangan guru juga semakin bertambah iaitu seramai 73 orang guru di bawah pentadbiran Guru Besar iaitu Tuan Haji Mesrandi bin Mesdi yang baru memulakan perkhidmatannya di Sekolah kebangsaan Sungai Besi.     

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | belt buckles